CYBERJAYA, 16 April 2019 — Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang mula dikuatkuasakan 20 tahun lalu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pusat dan tumpuan utama dunia bagi perkhidmatan komunikasi serta perkhidmatan maklumat dan kandungan multimedia. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berperanan mengawal selia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran, perkhidmatan pos, pensijilan digital dan aktiviti dalam talian.
Internet di Malaysia mula digunakan secara umum sejak awal 1990-an dan telah membuka peluang baharu untuk kesalinghubungan digital. Industri komunikasi dan multimedia terus menunjukkan perkembangan positif yang disokong oleh peningkatan jumlah langganan jalur lebar di negara ini, termasuk untuk jalur lebar talian tetap dan mudah alih.
Menurut perangkaan MCMC, kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk pada tahun 2008 adalah 6.1% dan angka berkenaan melonjak kepada 121.11% pada tahun 2018. Bagi langganan jalur lebar tetap, jumlah langganan menunjukkan peningkatan daripada 2.59 juta pada 2017 kepada 2.66 juta pada 2018. Seramai 36.8 juta orang pula merupakan pelanggan jalur lebar mudah alih dan ini merupakan pertumbuhan sebanyak 4.3% pada 2018 (tambahan 1.5 juta langganan).
Peningkatan itu didorong oleh capaian liputan 3G dan 4G/LTE yang lebih meluas, kualiti rangkaian yang lebih baik serta peningkatan persaingan dalam pasaran jalur lebar. Selain itu, peningkatan tersebut juga adalah hasil inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menurunkan harga jalur lebar iaitu Kelajuan Berganda Pada Separuh Harga (Double the speed, Half the price) pada tahun lalu. Langkah berkenaan adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi dan pada harga yang berpatutan. Secara puratanya, harga untuk perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi sudah menurun sebanyak 49%. Usaha ini turut memberi impak kepada kedudukan terkini Malaysia dalam Speedtest Global Index. Laporan Speedtest Global Index oleh Ookla pada Februari 2019 mencatatkan kelajuan muat turun jalur lebar tetap di Malaysia secara purata adalah 64.51 Megabit sesaat (Mbps) berbanding dengan 22.26Mbps tahun lalu dan negara kini berada pada kedudukan ke-32 di dunia berbanding kedudukan ke-56 pada 2017.
Bermula daripada generasi pertama teknologi mudah alih selular 1G yang hanya menyokong panggilan suara sahaja, kepada 2G yang memperkenalkan panggilan dan teks seperti SMS dan MMS, 3G yang membolehkan panggilan video dan akses internet mudah alih; sehinggalah kepada teknologi 4G/LTE yang menyokong akses web mudah alih serta perkhidmatan dan ciri-ciri lain yang memerlukan kelajuan tinggi.
Malaysia bakal memperkenalkan teknologi mudah alih generasi kelima atau 5G yang dijangka mampu mengubah hampir keseluruhan aspek kehidupan seharian termasuklah dalam urusan kerajaan dan perniagaan. Hakikatnya, 5G bukan sekadar mempunyai kelajuan data yang lebih pantas dan kapasiti rangkaian yang lebih hebat, tetapi juga boleh menghubungkan jutaan peranti, membina perkhidmatan-perkhidmatan baharu, dan menyokong penggunaan aplikasi-aplikasi yang lebih luas. Penggunaan secara komersial teknologi 5G di negara ini akan dapat direalisasikan menjelang 2021 atau 2022.
Apa yang pasti, MCMC akan terus komited dalam usahanya untuk memperkukuhkan kesalinghubungan digital di seluruh negara sekaligus memberikan lonjakan kepada kehidupan rakyat secara keseluruhannya.
Beberapa inisiatif seperti pelancaran projek rintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Jasin dan projek Terragraph di Georgetown, Pulau Pinang baru-baru ini merupakan dua daripada inisiatif awal yang dilaksanakan dalam usaha untuk menyediakan infrastruktur kesalinghubungan negara yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik.
Saksikan video MCMC: 20 Tahun Mencorak Landskap Digital di pautan: https://youtu.be/s6QY5q7af64