Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) mengekalkan kehebatannya dengan mencatatkan peningkatan jumlah penonton di semua aset tradisional dan digitalnya.
Ketua Pegawai Eksekutif RTMP, Johan Ishak, berkata trend peningkatan dalam perkongsian audiens, jumlah penonton televisyen, pelanggan YouTube dan tontonan video, membuktikan kejayaan strategi kumpulan mengekalkan dominasi dalam segmen televisyen di samping mengukuhkan lagi keupayaan digital.
Katanya, berdasarkan data dari firma kaji selidik televisyen dan internet antarabangsa , Nielsen, jumlah penonton RTMP bagi empat salurannya iaitu TV3, ntv7, 8TV dan TV9 meningkat dari 34 peratus kepada 37 peratus pada Januari 2019.
Ia sekaligus mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu dalam industri televisyen Malaysia.
Pada 2018, peratusan TV3 sahaja meningkat kepada 27 peratus berbanding 22 peratus, sementara 8TV memperoleh 29 peratus berbanding 27 peratus pada 2017.
“Dalam penyiaran berita, Buletin Utama merekodkan 5.3 juta capaian penonton harian – trend peningkatan sejak suku pertama 2018. Pencapaian kukuh ini menunjukkan berita televisyen kekal sebagai pilihan popular di kalangan rakyat Malaysia.
“Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, program-program berita RTMP meraih 400 juta tontonan, menunjukkan purata kekerapan tontonan sebanyak 23.5 kali oleh 17 juta orang.
“Slot drama RTMP Akasia, Samarinda, Seramadi dan Lestary terus menarik jumlah audiens yang besar. Nur antara drama yang mempunyai ramai pengikut dalam tahun 2018 dengan meraih lebih 11 juta penonton televisyen pada tahun itu.
“Drama terbaru dalam slot Akasia, Pujaan Hati Kanda, yang menampilkan Remy Ishak dan Mira Filzah, telah memperoleh 12 juta tontonan sejak ditayangkan pada Disember 2018. Episod akhir drama tersebut merekodkan 4.5 juta penonton, dan mencecah 30 juta tontonan di YouTube @TV3Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Johan berkata, Anugerah Juara Lagu (AJL) kekal sebagai acara penting dalam industri hiburan di Malaysia dengan edisinya yang ke-33 meraih 6.3 juta penonton televisyen.
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/02/531122/rangkaian-televisyen-media-prima-rekod-peningkatan-penonton