Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mampu mengesan mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu dalam tempoh kurang 24 jam selepas kesalahan itu dilakukan menerusi media sosial.
Tindakan sepantas itu akan diambil pihak berkuasa berkenaan jika menerima aduan lengkap berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, termasuk berkongsi dan menyebarkan berita palsu.
Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata lebih 40 individu sudah disiasat mengikut akta berkenaan sepanjang tahun lalu, manakala empat lagi didakwa.
Katanya, kecenderungan berkongsi maklumat peribadi lengkap seperti nombor telefon, tempat tinggal, nombor pendaftaran kenderaan dan maklumat ahli keluarga secara terbuka di media sosial, memudahkan siasatan SKMM terhadap penyebar berita palsu.
“Kebanyakan mereka tidak tahu dari mana sumber sebenar berita atau maklumat yang mereka peroleh, tetapi terus menyebarkannya kepada kumpulan lain, sama ada menerusi aplikasi WhatsApp atau Facebook.
“Walaupun mereka bukan penulis asal maklumat atau berita berkenaan dan hanya sekadar berkongsi dan menyebarkan kepada pengguna media sosial lain, pendakwaan boleh dilakukan jika ada bukti yang kukuh dan sah,” katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/397324/boleh-kesan-penyebar-berita-palsu-kurang-24-jam